Sunday, August 15, 2010

LITERASI BAHASA WAJ 3104


PENGENALAN

Today, technology plays an important role in the classroom literacy teaching. However, technology usage by Malay language teachers is still new and not as encouraging as expected due to lack of technical skills and experience among them.”

[Mahzan Arshad, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (2005)]

Secara umumnya, dunia pendidikan menekankan konsep “MEMANUSIAKAN MANUSIA” untuk membantu kanak-kanak berkembang selaras dengan usia mereka di tahap yang paling optimum. Bronfenbrenner dalam teori ekologinya menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak banyak dipengaruhi melalui persekitaran yang dibahagikan kepada 6 jenis iaitu mikrosistem, ekosistem, eksosistem, mesosistem, makrosistem dan kronosistem.

Dalam penulisan ini, penulis akan bertumpu kepada jenis yang keenam iaitu kronosistem yang memegang maksud perubahan keadaan dalam satu tempoh masa. Contohnya, kanak-kanak pada zaman global ini lebih berfokus kepada permainan yang diperolehi daripada media elektronik seperti komputer dan video games. Berbanding dengan kanak-kanak pada zaman dahulu, mereka lebih terdedah dengan permainan berunsurkan tradisional seperti congkak dan layang-layang. Berhubung dengan teori ekologi tersebut, kita dapat menyimpulkan bahawa pengajaran pada zaman ini seharusnya berasaskan teknologi moden sesuai dengan peredaran masa yang sedang dilalui oleh kanak-kanak.

Proses pengajaran berasaskan teknologi moden ini sebenarnya sangat penting dan boleh diguna pakai dalam pelbagai mata pelajaran terutamanya literasi bahasa. Literasi menurut kamus dewan edisi ke-empat mendukung maksud ‘kebolehan menulis dan membaca atau celik huruf’. Bahasa pula didefinisikan sebagai ‘sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia, percakapan yang baik atau bersopan santun’. Oleh itu, literasi bahasa boleh didefinisikan sebagai kebolehan menguasai kemahiran menulis dan membaca sebagai medium perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia yang menggunakan bahasa yang sama.

Sebelum mencapai penguasaan dalam peringkat yang tertinggi dalam penguasaan bahasa iaitu penulisan wacana, kanak-kanak terlebih dahulu haruslah menguasai kemahiran literasi bahasa yang seterusnya akan membawa mereka menguasai peringkat yang lebih tinggi dalam tingkat penguasaan bahasa. Dalam menguasai kemahiran ini, guru harus memainkan peranan untuk memastikan bahawa pelajar benar-benar telah menguasai kemahiran tersebut. Dalam proses pengajaran tersebut, pelbagai kaedah harus diketengahkan agar pelajar benar-benar menguasai kemahiran itu.

Jika kita imbas kembali pendidikan literasi bahasa pada masa kini, kita sebenarnya masih lagi terikat dengan cara lama yang kurang merangsang pemikiran pelajar untuk menguasai tahap kemahiran dalam peringkat umur mereka. Demikian menurut kajian yang dijalankan oleh Mahzan Arshad iaitu pelatih Fakulti Pendidikan Universiti Malaya menyatakan bahawa teknologi yang digunakan oleh guru-guru Bahasa Melayu kini masih kelihatan sangat kebaruan dan kurang berkesan seperti yang dikehendaki. Hal ini disebabkan oleh kekurangan kemahiran teknikal dan kurangnya pengalaman dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran literasi bahasa.

Oleh yang demikian, guru-guru harus menaik taraf cara pengajaran dengan menggunakan teknologi dengan cara menitikberatkan prinsip dan kriteria pemilihan bahan untuk aktiviti yang akan dijalankan dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran literasi bahasa. Oleh hal yang demikian, penulis akan membincangkan topik tersebut dengan lebih lanjut lagi dalam penulisan ini.

1.0. PRINSIP DAN KRITERIA PEMILIHAN BAHAN AKTIVITI LITERASI BAHASA.

Untuk menggunakan bahan yang menepati prinsip dan kriteria yang telah ditetapkan, guru harus mengetahui isi kandungan pelajaran secara keseluruhannya agar bahan dengan isi kandungan mata pelajaran dapat disesuaikan. Hal ini demikian kerana ianya dapat mengukuhkan penguasaan kemahiran pelajar dalam mata pelajaran literasi bahasa. Harus diketahui bahawa mata pelajaran literasi bahasa ini mengandungi beberapa sub kemahiran yang menekankan aspek latihan yang terpenting iaitu latihan pramenulis, menulis dan prabacaan. Namun demikian, dalam penulisan ini, penulis akan bertumpu kepada cabang aktiviti pramenulis, kaedah-kaedah membaca dan menulis mekanis.

Sebelum mengetahui lebih lanjut mengenai prinsip dan kriteria pemilihan bahan untuk aktiviti ini, konsep setiap sub kemahiran yang memerlukan latihan itu haruslah difahami dengan jelas oleh guru yang berkenaan. Menurut kamus dewan edisi ke-empat, menulis merupakan satu perbuatan mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena atau satu cara untuk melahirkan perasaan. Pra pula mendukung maksud awalan. Melalui dua definisi tersebut dapat kita simpulkan bahawa pratulisan boleh didefinisikan sebagai awalan mencatat dengan menggunakkan alat tulis.

Kaedah pula didefinisikan sebagai cara atau peraturan membuat sesuatu manakala membaca pula didefinisikan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang ditulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan isi kandungannya. Demikian, kita dapat simpulkan bahawa kaedah membaca membawa maksud cara memerhatikan isi sesuatu yang ditulis atau tercetak dengan teliti dan memahami maksud isi kandungannya. Mekanis pula membawa maksud satu peringkat untuk membina asas yang teguh bagi sesuatu perkara (http://lestari-intelek.blogspot.com/2009/04/kemahiran-menulis.html). Jika dikaitkan dengan menulis mekanis dalam konsep di atas, kita dapat menyimpulkan bahawa menulis mekanis mendukung maksud peringkat mendirikan asas yang teguh bagi perbuatan mencatat kata-kata dengan huruf dan menggunakan pena atau alat tulis.

Melalui definisi ringkas tersebut kita dapat melihat bahawa setiap sub kemahiran itu saling bergantung antara satu sama lain. Kemahiran menulis itu tidak akan dapat digilap sekiranya tidak bermula daripada kemahiran pramenulis kemudian diikuti oleh kemahiran menulis mekanis dan akan menuju ke peringkat seterusnya yang lebih mencabar. Peringkat-peringkat awal yang disebutkan tadi sememangnya sangat diperlukan dalam kalangan kanak-kanak untuk membina kemahiran psikomotor masing-masing sebelum melangkah ke arah kemahiran yang lebih tinggi.

Seperti hal penguasaan yang berperingkat-peringkat oleh pelajar, demikian juga dengan proses pengajaran yang dijalankan di dalam bilik darjah. Guru-guru yang terlibat seharusnya mengetahui bahawa selain perlu untuk menguasai kemahiran yang pelbagai dalam memilih, megolah, membina, menggunakan dan menilai bahan bantu mengajar , kemahiran yang diajarkan itu haruslah berperingkat-peringkat mengikut pengalaman sedia ada pelajar bermula daripada peringkat yang mudah kepada yang sukar berlandaskan prinsip dan kriteria tertentu. Oleh hal yang demikian, guru-guru harus mengetahui secara menyeluruh prinsip dan kriteria pemilihan bahan yang dimaksudkan.

Dalam pemilihan bahan untuk menjalankan aktiviti literasi bahasa, beberapa prinsip khusus telah diketengahkan untuk diambil kira oleh para pendidik. Prinsip yang pertama merujuk kepada objektif pengajaran dan pembelajaran. Bahan bantu mengajar yang dicipta mestilah saling berhubung dengan objektif yang telah ditetapkan. Maksudnya, objektif pengajaran dan pembelajaran ditentukan terlebih dahulu sebelum mencipta bahan bantu mengajar agar objektif yang ingin dicapai bagi proses pengajaran dan pembelajaran hari tersebut dapat dicapai dengan satu cara pembelajaran yang menarik malah dapat merangsang minda pelajar melalui satu medium bahan bantu balajar.

Prinsip yang kedua pula merujuk kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Para pendidik harus mengetahui bahawa pendidikan di Malaysia bertunjangkan kepada beberapa dasar seperti FPK itu sendiri. FPK bertujuan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Tujuannya adalah untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari intelek, rohani, emosi dan jasmani dan berdasarkan kepatuhan kepada Tuhan. Berdasarkan prinsip ini, bahan bantu mengajar yang dicipta itu mestilah boleh membantu para pelajar untuk memperkembangkan potensi mereka dengan baik. Maksudnya, bahan bantu mengajar itu mestilah meliputi unsur-unsur intelek atau pengetahuan yang positif dan nilai-nilai afektif dan moral.

Prinsip yang ketiga pula menekankan kepentingan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Melalui prinsip ini, pelajar harus diajar untuk menggunakan setiap sub kemahiran dalam mata pelajaran literasi bahasa dalam kehidupan seharian mereka dengan menggunakan bahasa yang betul dari aspek sintaksis dan semantiknya. Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas, para pelajar harus dilibatkan secara aktif dalam apa juga situasi pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran itu seharusnya membolehkan pelajar merasakan proses komunikasi itu seperti dalam keadaan sebenar. Oleh itu pengajaran dan pembelajaran itu harus meliputi kaedah main peranan atau simulasi yang mendedahkan mereka kepada penggunaan literasi bahasa tersebut dalam kehidupan seharian mereka. Apabila hal seperti ini dilakukan maka pelajar akhirnya akan mengetahui bahawa bahasa boleh berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa untuk berkomunikasi.

Selain itu, bahan bantu mengajar seharusnya dibina berlandaskan prinsip keperluan belajar pelajar. Harus diketahui bahawa keperluan belajar pelajar itu bukanlah hanya terhad pada keperluan berbahasa atau berkomunikasi sahaja tetapi ianya harus menitikberatkan kepentingan pembinaan intelek dan emosi mereka. Keperluan belajar itu juga tidak hanya bergantung kepada sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi harus menitikberatkan sejauh mana pengalaman sedia ada pelajar itu. Maksudnya, ilmu yang disampaikan pada hari itu harus ditambah berdasarkan pengalaman sedia ada mereka dari semasa ke semasa. Untuk mewujudkan satu pembelajaran yang berkesan, para pelajar harus diperkenalkan dengan pembelajaran berperingkat. Pembelajaran yang berperingkat ini walaupun hanya sedikit tetapi ia harus mengandungi benda baru pada setiap peringkat yang seterusnya dan saling berkaitan antara satu sama lain. Hal ini ditetapkan demikian agar pelajar mampu mengaitkan pengalaman lalu kepada pengalaman yang baru mereka perolehi. Oleh itu, guru harus mengetahui bahawa bahan bantu mengajar itu berfungsi untuk pengajaran secara kelas, kumpulan dan individu agar keperluan mereka dapat dipenuhi secara optimum.

Di samping itu, binaan bahan bantu mengajar itu haruslah mengambilkira perkaitan antara aspek bahasa, proses pembelajaran dan pelajar itu sendiri. Ketiga-tiga aspek ini seharusnya ditekankan sama rata dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Bahasa memang merupakan aspek yang paling penting dalam mata pelajaran ini. Namun demikian, guru harus mengambil kira proses pembelajaran lingkungan pelajar yang diajar. Guru tidak boleh menggunakan sepenuhnya bahasa melayu sekiranya lingkungan pelajar yang diajar itu tidak boleh berbahasa melayu. Guru haruslah bijak mengasimilasi bahasa mereka dan perlahan-lahan memperbetulkan bahasa yang mereka gunakan. Contoh seterusnya yang boleh kita lihat adalah pendekatan yang digunakan. Pendekatan bermain sambil belajar yang diperkenalkan memang sangat disukai oleh para pelajar. Namun demikian, guru harus memastikan bahawa permainan yang dijalankan itu bukan sekadar menggembirakan tetapi harus mengambil kira nilai yang mahu ditetapkan dalam satu interaksi. Selain itu, guru harus terus memastikan bahawa bahasa yang mereka gunakan itu masih dalam lingkungan penggunaan bahasa yang betul.

Prinsip yang seterusnya ialah berkaitan dengan motivasi intrinsik dalam diri pelajar. Motivasi intrinsik yang diperkenalkan oleh Abraham Maslow ini merupakan satu penggerak dalaman yang harus dimiliki oleh seseorang pelajar dalam mempelajari sesuatu. Amat sukar untuk seseorang itu menguasai sesuatu tingkat ilmu sekiranya tidak diminatinya berbanding dengan yang meminatinya. Masalah yang akan ditemukan dalam hal ini ialah minat pelajar. Oleh itu setiap guru harus mengetahui bahawa minat pelajar terhadap sesuatu perkara boleh ditimbulkan apabila perkara tersebut dapat dihubungkaitkan dengan perkara yang mereka minati. Melalui konsep tersebut, guru harus bijak memulakan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dengan dimulakan dengan pengalaman sedia ada yang mereka minati agar timbul rasa minat terhadap perkara baru yang akan dipelajari.

Setelah mengetahui prinsip-prinsip binaan bahan bantu mengajar yang harus dikuasai oleh setiap guru, beberapa kriteria yang menyentuh sifat bahan bantu mengajar juga harus dikenal pasti agar bahan binaan tersebut memberikan pelbagai faedah bukan sahaja kepada murid tetapi juga kepada murid dan alam belajarnya.

Kriteria yang pertama yang harus dipertimbangkan ialah keselamatannya. Bahan bantu mengajar yang dibina mestilah selamat digunakan oleh setiap pelajar. Sebarang sifat fizikal seperti tajam dan mudah pecah tidak sesuai digunakan kerana bahan bantu mengajar kemungkinan mencederakan para pelajar.

Kriteria yang kedua ialah ketahanan bahan bantu mengajar tersebut. Ketahanan yang dimaksudkan ialah tahap kesesuaian dengan pelajar atau kelompok pelajar yang diajar. Tujuannya supaya alat itu boleh digunakan dalam tempoh masa yang panjang dan boleh digunakan oleh pelajar untuk belajar secara individu.

Kos juga haruslah diambil kira dalam pembinaan bahan bantu mengajar. Kos itu seharusnya sesuai dengan keadaan kewangan sekolah. Adalah lebih baik jika kos yang digunakan kurang. Hal ini demikian kerana, kejayaan sesebuah bahan bantu mengajar itu bukan bergantung kepada mahal atau murah benda tersebut. Oleh itu, ada baiknya jika bahan yang dihasilkan itu diambil daripada bahan-bahan terbuang dan lebih baik jika bahan itu dibina oleh pelajar sendiri dengan bantuan guru-guru. Perkara sedemikian bukan sahaja membantu pengurangan kos tetapi turut menyumbang kepada perkembangan daya cipta pelajar.

Selain itu, aspek-aspek teknikal yang digunakan mestilah sesuai dengan kemudahan bilik darjah. Selalunya, bahan bantu mengajar yang mempunyai ciri teknikal yang mesra dengan persekitaran bilik darjah akan lebih membantu pelajar. Contohnya, bahan tersebut boleh dilekat atau digantung di dinding kelas dan diletakkan di atas meja pelajar.

Unsur seperti ketepatan maklumat juga turut menjadi salah satu kepentingan utama dalam binaan bahan bantu mengajar. Contohnya, dalam penggunaan aspek warna, gunakan warna hijau untuk rumput segar bukannya hitam kerana rumput berwarna hitam itu tidak wujud dalam dunia sebenar.

Di samping itu, bahan bantu mengajar yang dibina mestilah mempunyai kriteria mudah alih. Hal ini demikian kerana, sifat tersebut memudahkan kerja guru dan pelajar untuk menggunakkanya dengan baik. Bahan bantu mengajar kadang kala perlu untuk dipindahkan dari satu kumpulan ke kumpulan yang lain. Fungsinya adalah untuk memberi kefahaman yang mudah dengan menggunakan ruang, masa dan tenaga yang minimum.

Bahan bantu mengajar yang dibina juga haruslah mengambil kira saiz atau pengelolaan kelas. Ini bermaksud bahan binaan itu tidak boleh terlalu kecil. Guru-guru harus memastikan bahawa bahan itu boleh dilihat dengan jelas dari jarak jauh. Jarak jauh yang dimaksudkan ialah kedudukan pelajar yang berada di hujung kelas boleh melihat bahan tersebut dari hadapan dengan jelas. Guru juga harus memikirkan bagaimana bahan tersebut digunakan dalam situasi pembelajaran secara kelas. Kelompok atau individu.

Selain itu, jangka masa pengajaran juga harus diambil kira. Oleh itu, guru-guru harus menyediakan bahan bantu mengajar yang mudah dikendalikan dalam tempoh masa tertentu agar pembaziran masa tidak berlaku..

Kepelbagaian dalam pengajaran juga merupakan antara kriteria terpenting dalam pembinaan bahan bantu mengajar. Kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar beberapa variasi bahasa yang digunakan secara meluas dalam masyarakat. Kepelbagaian ini membantu para pelajar mengenal konteks variasi bahan dan seterusnya membolehkan mereka memilih variasi-variasi tertentu untuk digunakan dalam konteks dan situasi-situasi tertentu dengan betul. Kepelbagaian ini juga merujuk kepada variasi bahasa seperti dialek (kelas dan geografi), style (formal, neutral dan informal), laras (occupational register) dan medium (lisan dan tulisan).

Di samping itu, harus diintegrasikan kemahiran bahasa dalam pembinaan bahan bantu mengajar di mana ianya melibatkan penerimaan iaitu kemahiran membaca dan mendengar dan kemahiran pada aras pelahiran iaitu tulisan dan bertutur. Oleh kerana sifat kemahiran ini adalah kesatuan dan bukan terpisah-pisah maka kemahiran ini haru digabungjalinkan untuk mewujudkan satu strategi pembelajaran yang lebih bermakna.

Dalam pembinaan bahan bantu mengajar ini, harus dititikberatkan juga kriteria yang menyentuh standardisasi dan simplikasi. Kriteria ini amat perlu kerana membolehkan guru-guru menghasilkan bahan bantu mengajar yang dapat memenuhi keperluan pelajar. Dalam proses ini, bahan tersebut akan disunting, diproses dan diubahsuai supaya sesuai dengan kebolehan pelajar. Contohnya, dalam aktiviti pramenulis, harus dilakukan aktiviti yang bersesuaian dengantahap tersebut dan bukannya mengambil aktiviti daripada menulis mekanis. Ia juga harus disesuaikan berdasarkan perbezaan jantina, umur, kawasan, pendidikan, sosial dan sebagainya.

Kriteria yang terakhir ialah penyerapan nilai dan pengetahuan melalui bahan bantu mengajar tersebut. Satu unsur penting yang harus diketengahkan ialah pengajaran dan pembelajaran haruslah menekankan nilai moral sejak dari kanak-kanak mula menjejakan kaki ke dalam dunia pendidikan. Peringkat pramenulis, menulis mekanis dan pramembaca itu merupakan antara pendidikan terawal yang diberikan kepada kanak-kanak. Oleh itu, seharusnya nilai moral harus diterapkan dari peringkat ini lagi. Melalui strategi ini, pelajar akan dapat menambah pengetahuan baru dan sentiasa menyedari akan kewujudan dan kepentingan mereka dalam kehidupan lingkungan manusia.

Demikianlah antara prinsip dan kriteria yang sepatutnya ada dalam setiap bahan bantu mengajar yang dibina khusus untuk para pelajar terutamanya pelajar yang baru sahaja menjejakan kaki ke dalam dunia pendidikan. Bukan pelajar untuk bahan bantu mengajar tetapi bahan bantu mengajar untuk pelajar.

2.0 BINAAN BAHAN PENGAJARAN

Kembali kepada kenyataan yang dibuat oleh salah seorang penuntut Fakulti Pendidikan Universiti Malaya iaitu Mahzan Arshad yang menyatakan bahawa guru-guru bahasa melayu pada masa kini tidak menggunakan teknologi yang sedia ada dengan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walaupun teknologi semakin menguasai peradaban dunia, guru kelihatannya masih tidak mampu mengubah tradisi yang dilakukan pada zaman dahulu kala yang hanya merujuk kepada buku teks, buku rujukan, akhbar dan sebagainya. Tindakan ini seakan-akan menunjukan bahawa guru lupa akan wujudnya teknologi yang menjadi dunia pelajar.

Oleh itu, guru pendidikan literasi seharusnya memanfaatkan keuntungan yang dikecapi kini kerana memiliki kemudahan yang mampu membantu mempercepatkan dan meningkatkan mutu proses pengajaran dan pembelajaran literasi bahasa melayu di sekolah di negara ini. Pemilihan teknologi dalam membina bahan bantu mengajar ini adalah berlandaskan beberapa kepentingan dan faedah yang seharusnya diketahui oleh setiap guru. Faedah yang dimaksudkan ialah teknologi dalam pendidikan mampu meningkatkan kualiti pembelajaran literasi, dapat menggunakan masa dengan berkualiti, meningkatkan kualiti pengajaran guru, mempelbagaikan teknik pengajaran tanpa mengorbankan kualiti kandungan dan kemahiran literasi yang ingin dicapai serta membantu guru dalam meningkatkan minat pelajar untuk belajar.

Oleh itu, bahan pengajaran yang akan ditumpukan dalam penulisan ini adalah bahan pengajaran berbentuk penggunaan teknologi. Teknologi dalam pendidikan menurut Suruhanjaya Teknologi Pengajaran USA merupakan satu cara yang sistematik untuk merekabentuk, melaksana dan menilai keseluruhan proses pengajaran dan pembelajaran dari segi objektif khusus, berdasarkan penyelidikan terhadap pembelajaran manusia dan komunikasi dengan menggunakan gabungan sumber manusia dan bukan manusia untuk membawa kepada pengajaran yang berkesan (Bjerstedt, 1972).

Melalui definisi tersebut, kita sebenarnya dapat mengambil satu tujuan utama penggunaan teknologi dalam pendidikan iaitu membuka jalan bagi pelajar untuk menguasai atau memperolehi matlamat pembelajaran yang telah dirancang oleh sesuatu kurikulum atau mata pelajaran. Harus diingati juga bahawa bahan bantu mengajar ini bukan digunakan untuk menggantikan peranan guru tetapi untuk membantu guru.

Oleh itu, setiap pelatih atau insan yang bakal menjadi pendidik harus mendalami penggunaan teknologi dalam membina bahan bantu mengajar. Demikian, dalam penulisan ini, satu bahan bantu mengajar pada peringkat pramenulis telah dibina dengan menggunakkan video, audio, grafik, animasi dan sebagainya untuk membantu pelajar belajar dengan lebih baik lagi. Bahan bantu mengajar ini dibina menggunakan perisian komputer (microsoft power point) yang digabungjalinkan dengan beberapa program yang lain seperti penggunaan alat perakam audio dan video. Melalui bahan binaan ini, diharapkan pelajar dapat mempelajari konsep pramenulis dengan cara yang menarik dan pelbagai.









































No comments:

Post a Comment

Post a Comment