Monday, March 22, 2010

Pengenalan kepada Masalah Bahasa dan Komunikasi

PENDAHULUAN
“Matlamat utama pendidikan adalah untuk menyediakan seseorang individu menjadi bertanggungjawab, menyumbang kepada komuniti. Pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran perlu didedahkan kepada realiti kehidupan setelah tamat persekolahannya melalui satu program yang sistematik. Kebiasaannya, dalam persediaan kepada realiti kehidupan orang dewasa, penekanan hanya diberi terhadap keperluan vokasional semata-mata. Malangnya hingga kini, terlalu sedikit program komprehensif yang wujud menyarankan kemahiran hidup yang diperlukan untuk menepati kehendak sebagai orang dewasa.”
Berdasarkan pernyataan yang dipetik daripada hasil tulisan Polloway & Patton (1993), secara tidak langsung kita dapat menyimpulkan bahawa setiap insan di dunia ini memerlukan latihan yang khusus untuk menghadapi kehidupan pada hari dewasa yang menuntut setiap manusia bersikap berdikari di tahap yang maksimum. Berdikari bermaksud seseorang harus menghadapi kehidupan secara peribadi tanpa melibatkan bantuan orang lain secara total dalam kehidupan mereka. Oleh hal yang demikian, setiap insan yang hidup di dunia ini sepatutnya mempunyai keupayaan ini. Keupayaan yang dimaksudkan semestinya didapati melalui proses pembelajaran tidak kira pembelajaran secara formal yang dijalankan di sekolah ataupun pembelajaran tidak formal yang dipelajari melalui kehidupan seharian dan pengalaman yang mereka lalui.
Salah satu aspek pembelajaran yang asas adalah kemahiran berbahasa dan berkomunikasi. Apabila seseorang gagal memenuhi keperluan asas ini maka berlaku kesukaran dalam kehidupannya kerana kesukaran menyampaikan kehendak dalam hidup seharian. Oleh itu pelbagai pihak yang bertanggungjawab harus mengenalpasti punca berlakunya kanak-kanak gagal menguasai bahasa dan komunikasi kemudian mencari jalan penyelasaian kepada masalah ini. Berikutan dengan hal ini maka kerja kursus projek PKU 3102 menuntut semua guru pelatih Pendidikan Pemulihan Khas mengkaji topik ini dengan lebih lanjut lagi agar kehendak pelajar terutama pelajar pemulihan khas dapat difahami seterusnya dipenuhi.

Sebelum melangkah dengan lebih jauh lagi dalam mata pelajaran pengenalan kepada masalah bahasa dan komunikasi, eloklah dikenal pasti konsep dan definisi masalah bahasa dan komunikasi agar maksud yang dicari lebih nyata dan jelas.
1. KONSEP DAN DEFINISI MASALAH BAHASA DAN KOMUNIKASI
1.1: Definisi masalah, bahasa dan komunikasi
Menurut Kamus Dewan edisi ke-4 (2007), masalah diertikan sebagai sesuatu yang memerlukan penyelesaian, perkara atau keadaan yang menimbulkan kesukaran. Bahasa pula didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Selain itu, bahasa juga didefinisikan sebagai percakapan yang baik, tingkah laku yang baik dan sopan santun. Di samping itu, Komunikasi pula dijelaskan sebagai perhubungan (secara langsung) atau dengan perantaraan surat, radio, telefon dll.

1.2: Konsep bahasa.
Lufti Abas (1975:4) mengemukakan konsep beliau mengenai bahasa iaitu sebagai satu data yang dianalisis dalam linguistik. Menurut definisi linguistik, bahasa ialah suatu sistem simbol-simbol yang terdiri daripada bunyi-bunyi yang diucapkan dalam atau melalui mulut manusia, yang dipersetujui bersama, dipelajari oleh sekelompok manusia itu berkomunikasi.
Mangantar Simajuntak (1982:5) pula mengemukakan bahawa bahasa ialah satu sistem kognitif manusia yang unit yang dapat dimanipulasi oleh manusia untuk menghasilkan sejumlah ayat yang tidak terbatas untuk dipakai oleh manusia sebagai alat komunikasi dan mengakumulasi ilmu pengetahuan.
Asraf yang menjawab pertanyaan penulis secara lisan pada 10 ogos 1985 menyatakan bahawa bahasa merupakan himpunan ayat-ayat yang tidak terbatas jumlahnya tetapi terbatas panjangnya, yang mempunyai susunan kata, frasa, dan struktur, menurut ketetapan tertentu yang berupa sistem dalam bahasa itu.
Bahasa tidak terbatas kepada simbol-simbol sahaja tetapi terbahagi kepada beberapa komponen yang penting. The American Speech-Language-Hearing Association (ASHA) (1982) membahagikan bahasa kepada beberapa bahagian iaitu dari segi bentuk (form), kandungan (content) dan penggunaan (use).
Bentuk bahasa dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut tahap kesukaran penguasaannya iaitu aspek fonologi, morfologi dan sintaksis. Fonologi merupakan kajian tentang bunyi sebutan dalam sesuatu bahasa (kamus Dewan Edisi terkini). Morfologi pula merupakan kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa termasuk infleksi, terbitan dan pemajmukan (Kamus Dewan Edisi Terkini) manakala sintaksis pula merupakan pengetahuan (cabang ilmu linguistik, peraturan, dsb) tentang susunan kata dalam ayat (Kamus dewan edisi ke-4)
Kandungan bahasa yang dimaksudkan ialah dari segi semantik iaitu kajian tentang makna perkataan dan penambahan makna sesuatu kata (kamus dewan Edisi Terkini). Di samping itu, penggunaan bahasa merujuk kepada pragmatik iaitu cabang linguistik yang berkaitan dengan kajian tentang makna dan kesan yang timbul daripada penggunaan bahasa dalam situasi tertentu (Kamus Dewan Edisi Terkini).
Berdasarkan konsep yang dikemukakan oleh keempat-empat tokoh bahasa yang saya rujuk, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa merupakan salah satu instrumen atau alat yang memerlukan pengetahuan khusus dan digunakan dalam komunikasi seharian oleh sekelompok masyarakat. Bahasa tidak terbatas kepada pengucapan yang dilafazkan secara sewenang-wenangnya tetapi memerlukan individu tersebut menggunakan bahasa dengan baik dengan memasukkan nilai etika dan budi pekerti yang tinggi dalam pertuturannya.




1.3: Konsep komunikasi
Secara general, komunikasi merupakan sebuah analogi perpindahan maklumat menerusi deretan simbol yang sama kepada individu atau sekelompok insan yang lain. Komunikasi menurut Verdeber & Verdeber (1977) adalah satu proses mengongsi makna melalui pengucapan dan diikuti dengan penerimaan baik secara sengaja atau sebaliknya sehingga meninggalkan kesan. Mengikut McAuley (1988) pula, komunikasi dapat mempengaruhi serta meningkatkan keyakinan seseorang. Seterusnya beliau menentukan bahawa komunikasi dapat menentukan tindakan, kepuasan dan menjalin hubungan.
Menurut Anuar, 2009, komunikasi atau pertuturan adalah bentuk ekspresi bahasa yang paling biasa dan memerlukan koordinasi di antara alat artikulasi, pernafasan, dan suara. Di samping itu, komunikasi manusia juga memerlukan kelancaran yang padu iaitu keupayaan untuk bertutur tanpa teragak-agak atau tersekat-sekat agar komunikasi yang sedang berlangsung tidak tergangu.
Menurut sumber bacaan scribd, komunikasi terbahagi kepada lima jenis iaitu komunikasi haiwan, komunikasi interpersonal iaitu komunikasi dua hala, komunikasi intrapersonal iaitu komunikasi berarah sehala yang berlaku pada pemikiran individu, komunikasi tanpa lisan iaitu pragmatik dan komunikasi melalui telekomunikasi atau perantara berjarak jauh.
Komunikasi berperanan sebagai medium penjalin hubungan yang mesti mempunyai nilai etika yang baik seperti tutur kata yang manis dan bersopan santun. Selain itu, komunikasi berperanan sebagai sumber rangsangan atau penggalak emosi. Contohnya, individu yang berada dalam keadaan sedih akan tersenyum apabila mendengar nasihat yang diujarkan dalam bentuk jenaka. Komunikasi juga boleh meningkatkan estim-diri. Apabila individu tersebut terlibat dalam sesuatu komunikasi, secara tidak langsung, dia akan berasa bahawa dia diperlukan dalam sesuatu perkara manakala dia akan berasa lemah sekiranya lawan bicara beliau mengherdik atau menghinanya. Komunikasi juga boleh dijadikan sebagai wahana perkongsian dalam kehidupan di mana wujud kerjasama antara dua atau lebih pihak dalam melaksanakan sesuatu yang pasti memerlukan komunikasi.
Kesimpulannya, komunikasi sangatlah penting kerana ianya merupakan asas hidup bermasyarakat yang tidak dapat dielakkan. Proses ini tidak wujud secara terpencil tetapi berlaku dalam setiap aspek kehidupan manusia (Mohd Sharani Ahmad, 2008).
1.4: Kesimpulan
The National Information Center for Children and Youth disabilities (1996), USA telah mendefinisikan masalah bahasa sebagai “... kelemahan dalam keupayaan untuk memahami dan/atau menggunakan perkataan-perkataan mengikut konteks, sama ada secara verbal dan bukan verbal. Di antara ciri masalah bahasa termasuklah penggunaan perkataan dan maknanya yang kurang sesuai, tidak upaya menyampaikan idea, bentuk tatabahasa yang kurang sesuai, kurang perbendaharaan kata dan tidak upaya mengikut arahan.”
Menurut Mohd Sharani Ahmad (2008), kelemahan atau masalah sewaktu berkomunikasi berkait rapat dengan kelemahan anak menggunakan bahasa lisan dan bukan lisan dengan jelas.
Melalui definisi dan konsep masalah, bahasa dan komunikasi yang telah dibincangkan secara mendalam di atas, dapat disatukan ideanya mengenai masalah bahasa dan komunikasi. Kita dapat menyimpulkan bahawa masalah bahasa dan komunikasi ini merupakan satu perkara yang harus diambil perhatian serius dalam mencari jalan penyelesaiannya. Hal ini demikian kerana bahasa dan komunikasi merupakan dua perkara yang berbeza tetapi mempunyai pertalian yang rapat dan hubung kait dengan berjaya atau tidak seseorang itu dalam hidupnya.



2. FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERKEMBANGAN BAHASA DAN KOMUNIKASI.
Sebagaimana berlangsungnya perkembangan pada setiap kanak-kanak, demikian kiranya sistem bahasa dan komunikasi dalam diri mereka berkembang. Berjaya atau tidak perkembangan dalam diri kanak-kanak tersebut adalah bergantung kepada beberapa faktor yang berlaku dalam kehidupan kanak-kanak tersebut.
Faktor-faktor tersebut dapat dibahagikan kepada tujuh bahagian iaitu faktor keperluan dalam perkembangan kanak-kanak, faktor persekitaran, kelewatan bahasa, tahap kesihatan, faktor ekonomi, faktor baka dan faktor kognitif.

2.1: Keperluan dalam perkembangan kanak-kanak
Mok Soon Sang (2009:2) menjelaskan bahawa keperluan merupakan kehendak manusia untuk menyempurnakan keadaan, kekurangan, gangguan dan ketidakseimbangan dalam dirinya. Secara umumnya, keperluan dibahagikan kepada keperluan fisiologi dan keperluan psikologi. Keperluan fisiologi adalah keperluan asas yang terdiri daripada kekurangan organik seperti keperluan makanan dan minuman, oksigen, kepuasan deria, tidur dan rehat, pembuangan dan seks. Keperluan psikologi pula merupakan keperluan sekunder yang meliputi keperluan-keperluan keselamatan, kasih sayang, penghargaan kendiri, kesempurnaan kendiri serta keperluan maklumat, keperluan estetik dan aktualisasi kendiri.
Untuk membincangkan keperluan kanak-kanak dengan lebih lanjut, saya lebih suka mengutamakan teori A.H Maslow yang dinamakan sebagai teori keperluan. Abraham Maslow berpendapat bahawa seseorang individu akan memenuhi keperluan asas terlebih dahulu sebelum memenuhi keperluan sekunder. Beliau sebenarnya mengelaskan keperluan manusia kepada tujuh bahagian dalam satu hierarki mengikut peratusan anggaran kepuasan yang tercapai oleh individu itu sendiri. (*Rujuk pada senarai lampiran)
Dalam teorinya, Maslow menggolongkan keperluan manusia kepada keperluan kekurangan dan keperluan kewujudan atau penyuburan. Keperluan kekurangan ini meliputi keperluan fisiologi seperti yang dinyatakan dalam teori Mok Soon Sang, keselamatan, kasih sayang dan penghargaan kendiri. Manakala keperluan kewujudan pula meliputi keperluan kesempurnaan kendiri, maklumat dan estetik serta aktualisasi kendiri.
Perkara yang saya ingin tekankan dalam teori ini adalah pencapaian keperluan kewujudan atau penyuburan yang melibatkan perkembangan bahasa dan komunikasi. Bahasa dan komunikasi dapat dikelaskan dalam aspek maklumat, estetik, kesempurnaan kendiri dan aktualisasi kendiri. Keperluan ini iaitu keperluan kewujudan atau penyuburan hanya akan dicapai apabila keperluan kekurangan yang dinyatakan di dalam teori A.H. Maslow dapat dicapai. Ini bermakna hanya semua keperluan dalam kategori keperluan kekurangan dicapai barulah manusia akan cuba menggunakan potensinya semaksimum yang mungkin untuk mencapai keperluan kewujudan.
Oleh yang demikian, dapat kita simpulkan bahawa kanak-kanak hanya akan berkembang dari segi bahasa dan komunikasinya apabila keperluan-keperluan kekurangan itu dipenuhi. Hal tersebut juga sekaligus menjelaskan bahawa faktor keperluan dalam perkembangan kanak-kanak mempengaruhi perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Semakin tidak dipenuhi keperluan kekurangan kanak-kanak, maka semakin kurang perkembangan penguasaan bahasa mereka dan sebaliknya.





2.2: Persekitaran
Menurut Kamarulzaman Kamaruddin (2009), kanak-kanak gemar meniru ayat-ayat yang digunakan oleh masyarakat yang berada di persekitaran mereka terutamanya ibu bapa mereka atau pengasuh yang menjaga mereka sejak kecil
Skinner (1957) pula menyatakan dalam teori perkembangan bahasa beliau bahawa kanak-kanak belajar bahasa melalui pelaziman responden iaitu kanak-kanak meniru dari persekitarannya dan mesti disokong oleh masyarakat persekitarannya. Contohnya, apabila kanak-kanak tersebut menguasai satu tahap penguasaan bahasa yang lebih kompleks daripada sebelumnya ibu hendaklah menyokongnya dengan memberi pujian, hadiah atau pelukan sebagai satu penghargaan. Apabila ibu atau orang di sekitarnya tidak memberi galakan yang positif, maka perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak tersebut akan terhalang atau menjadi terhad.
Melalui prespektif interaksionalis pula, perkembangan bahasa bergantung kepada sosial (persekitaran). Kanak-kanak yang dikurniakan kemahiran menguasai bahasa, adalah pemerhati dan peserta yang melihatkan dalam interaksi sosial. Apabila kanak-kanak mendiami persekitaran yang kurang aktif dalam interaksi sosial maka kuranglah perkembangan bahasa dan komunikasi dalam dirinya.
Melalui teori yang dikemukakan oleh Kamarulzaman Kamaruddin, Skinner dan pandangan para ahli interaksionalis, kita dapat menyimpulkan bahawa perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak juga sangat bergantung kepada persekitaran mereka.





2.3: Kelewatan bahasa
Anuar dalam penulisan blog beliau pada 15 April 2009 menjelaskan bahawa perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak juga dipengaruhi oleh kecepatan atau kelewatan penerimaan bahasa. Ada kanak-kanak yang memperolehi bahasa lewat daripada kebiasaannya. Walaubagaimanapun, kanak-kanak ini juga berpotensi menguasai bahasa walaupun agak lambat berbanding kanak-kanak lain. Namun demikian, terdapat juga kanak-kanak yang tidak menunjukkan perubahan dan memerlukan intervensi awal untuk membantunya mengatasi masalah yang dihadapi.
2.4: Kesihatan
Faktor kesihatan merupakan faktor terbesar yang boleh mempengaruhi perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Hal ini demikian kerana aspek kesihatanlah yang menentukan samada kanak-kanak tersebut mampu berkembang dalam aspek bahasa dan komunikasi atau sebaliknya. Masalah kesihatan ini boleh dikelaskan kepada beberapa aspek tertentu seperti yang berikut.
2.4.1: Aphasia
Berdasarkan artikel yang terdapat dalam laman web MedicineNet.Com dan Scribd, Aphasia merupakan salah satu masalah yang berpunca daripada kerosakan otak. Bagi seorang kanak-kanak, kerosakan otak berpunca daripada kecederaan otak semasa lahir atau ketumbuhan (tumor) otak. Bagi seorang dewasa pula, aphasia mungkin berpunca daripada strok atau kecederaan akibat kemalangan yang melibatkan kepala.
Menurut Holland & Reinmuth,1982, Aphasia turut menyumbang kepada masalah bahasa. Hal ini berlaku kerana otak tidak berupaya untuk memberi makna kepada simbol-simbol arbitrari bahasa, ketidakupayaan untuk membentuk atau memperoleh bahasa. Oleh hal yang demikian, kanak-kanak yang menghadapi masalah ini akan menghadapi kesukaran untuk berkembang dalam bahasa atau komunikasi mereka.

2.4.2: Gagap
Menurut Anuar,2009, gagap merupakan salah satu gangguan kelancaran yang berlaku yang melibatkan aliran pertuturan yang mempengaruhi kadar dan kelicinan pertuturan seseorang. Individu akan disebut gagap apabila menyebut perkataan berulang-ulang, tersekat-sekat dan diikuti oleh ketegangan otot tekak. Keadaan ini berlaku akibat gangguan pernafasan yang berpunca daripada penyelarasan otot pertuturan yang tidak sempurna. Selain itu, ia juga berpunca daripada ketidakstabilan mekanisme neuromuscular untuk pertuturan ketika peringkat awal kanak-kanak. Ketika kanak-kanak sudah mahu mula bercakap, otot-otot pertuturan masih belum bersedia dan tidak stabil. Keadaan inilah yang dipercayai akan menyebabkan pertuturan menjadi tersekat-sekat dan berulang-ulang. Gagap juga boleh berpunca daripada fizikal yang lemah, kekurangan zat makanan dan mempunyai masalah kesihatan.
Masalah gagap akan menggangu perkembangan bahasa dan komunikasi bagi seorang kanak-kanak kerana proses komunikasi yang dilafazkan menjadi tidak lancar kerana secara tidak sengaja kerap mengulang-ulang menyebut perkataan yang sama dan berlaku pemanjangan bunyi perkataan. Selain itu, penutur akan gagal mengaitkan pertuturan dengan emosi yang sedang dirasakan sehingga mungkin gagal menyampaikan maksud sebenar percakapan yang hendak diucapkan. Hal ini seterusnya mengagalkan proses perkembangan bahasa dan komunikasi dalam individu tersebut.
2.4.3: Gangguan proses auditori pusat (Central Auditory Processing Disorders/CAPD)
CAPD juga merupakan salah satu masalah kesihatan yang menggangu perkembangan bahasa dan komunikasi dalam diri individu. Masalah CAPD ini dikaitkan dengan penerimaan individu terhadap bahasa yang diterima. Semasa berkomunikasi, telinga akan menerima maklumat auditori (pendengaran) dan seterusnya proses menterjemahkannya. Individu yang mengalami CAPD tidak mengalami masalah pendengaran tetapi otak tidak mampu menterjemahkan bahasa yang didengarnya melalui auditori dengan baik kerana deria pendengaran (auditori) dan otak tidak mempunyai koordinasi yang baik. Perkara ini juga berlaku disebabkan persekitaran yang mengeluarkan bunyi-bunyi bising yang akhirnya menggangu proses pendengaran kanak-kanak tersebut. Hasilnya kanak-kanak yang mengalami masalah ini tidak dapat membezakan bunyi-bunyi bahasa walaupun pengucapan bahasa tersebut jelas dan kuat. Perkara ini juga turut menyumbang kepada kegagalan perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak tersebut.
2.4.4: Down Syndrome.
Down Syndrome merupakan salah satu masalah kesihatan yang menyumbang kepada masalah perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Down Syndrome adalah kecelaruan genetik yang terkenal dan mengimpak kepada kerencatan akal kanak-kanak (Gargiulo M.R). Masalah ini berlaku akibat lebihan kromosom pada pasangan kromosom ke-21 (Trisomi 21). Individu yang mengalami masalah ini akan menghadapi beberapa masalah dalam pembelajaran. Contohnya, kelewatan peningkatan motor halus dan kasar, mengalami masalah penglihatan dan pendengaran, mengalami masalah pertuturan dan bahasa dan bermasalah dalam mengeneralisasi, berfikir dan menaakul.
2.4.5: Autisme.
Menurut Persatuan Autisme Amerika Syarikat, Autisme adalah ketidakupayaan yang rencam yang pada kebiasaanya kelihatan pada masa kanak-kanak itu belum meningkat umur tiga tahun. Keadaan ini adalah kesan daripada kecelaruan neurologikal yang menggangu fungsi otak.
Punca sebenar yang menyebabkan autisme belum dapat dipastikan dengan jelas lagi tetapi umumnya dikatakan autisme disebabkan masalah genetik dan kefungsian otak. Apabila masalah ini berlaku pada seseorang, ia memungkinkan individu tersebut mendapat kesukaran untuk berkomunikasi terutamanya dalam meluahkan niat dan keinginannya, sukar untuk memahami variasi bahasa iaitu body language dan ekspresi malah kerap memberi respon yang tidak relevan. Hal ini seterusnya menyebabkan terbantutnya perkembangan bahasa dan komunikasi dalam individu tersebut.
2.4.6: Terencat akal.
Kanak-kanak terencat akal kerap lupa ilmu yang telah dipelajari. Secara umumnya, kanak-kanak terencat akal ini bermasalah dalam konsep generalisasi dalam bidang akademik, tingkah laku dan interaksi sosial. Mereka selalunya tidak mahu meneruskan sesuatu tugasan dan selalu berputus asa. Dari segi perkembangan bahasa pula, mereka lewat untuk menguasai bahasa dan komunikasi.

2.5: Faktor ekonomi.
Menurut Eni Kusuma dalam artikel yang ditulisnya dalam pembelajar.com pada 02 Mac 2007, kehidupan orang miskin amatlah mendukacitakan. Hal ini demikian kerana taraf sosioekonomi mereka amat rendah dan mereka menjalani kehidupan yang sukar. Melalui perkongsian cerita ini,kita sebenarnya boleh mengaitkannya dengan perkembangan bahasa dan komunikasi seseorang. Apabila individu tersebut menjalani kehidupan sedemikian rupa, secara automatiknya mereka akan mengenepikan soal pendidikan yang amat penting. Hidup mereka akan lebih tertumpu kepada pekerjaan yang menjadi sumber mata pencarian mereka. Apatah lagi jika kuota keluarga tersebut ramai dan pendapatan keluarga sedikit, maka kanak-kanak kecil pun terpaksa bekerja untuk memenuhi keperluan asas mereka.
Apabila hal ini berlaku, individu yang menganggotai keluarga tersebut akan kurang terdedah kepada penggunaan bahasa dan komunikasi dengan betul. Hal ini demikian kerana mereka tidak mampu memiliki bahan-bahan pembelajaran yang sepatutnya dimiliki seterusnya dipelajari dalam peringkat usia tertentu. Selain itu, persekitaran mereka yang lebih mementingkan pekerjaan berbanding perkembangan bahasa dan komunikasi juga turut menyumbang kepada terbantutnya perkembangan bahasa dan komunikasi dalam diri seseorang. Taraf sosioekonomi yang rendah juga menghalang individu untuk mendapat keperluan asas yang cukup seperti makanan dan pakaian. Apabila keperluan ini tidak dipenuhi mereka mungkin mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akan menjejaskan proses perkembangan bahasa dan komunikasi individu.
2.6: Faktor baka.
Mok Soon Sang, 2008 mengatakan bahawa menurut kajian ahli-ahli psikologi, emosi seseorang individu berkait rapat dengan pewarisan daripada ibu bapa mereka. Misalnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan bersifat autokratik. Demikian berlakunya kepada perkembangan bahasa dan komunikasi seseorang.
Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Sheldon (1962) pula mengatakan bahawa apapun perkembangan dalam diri kanak-kanak adalah bergantung kepada ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang cerdas akan melahirkan anak yang cerdas manakala ibu bapa yang kurang cerdas juga akan melahirkan anak yang kurang cerdas. Oleh itu, besar kemungkinan, faktor baka juga menyumbang kepada terbantutnya perkembangan kanak-kanak tersebut dalam bahasa dan komunikasi.

2.7: Faktor kognitif
Menurut ahli-ahli psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Sheldon (1962), setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan intelek yang berbeza dengan rakan sebaya mereka. Hal ini dibuktikan benar melalui kajian mereka. Tahap kebolehan intelek inilah yang akan membezakan individu.
Melalui teori yang mereka kemukakan ini, maka dapat kita simpulkan bahawa kognitif juga sangat memberikan impak yang besar terhadap perkembangan bahasa dan komunikasi. Hal ini demikian kerana, kanak-kanak yang mempunyai daya kognitif rendah akan sukar menguasai perkembangan bahasa dan komunikasi manakala kanak-kanak yang mempunyai daya kognitif yang tinggi pula akan cepat berkembang dalam penguasaan bahasa dan komunikasinya.


Rumusan.
Umumnya, apabila faktor-faktor yang telah dibincangkan tadi tidak diambil kira sepanjang tempoh perkembangan kanak-kanak, ia akan menyukarkan kanak-kanak tersebut menguasai perkembangan bahasa dan komunikasi yang sepatutnya dicapai pada peringkat umur yang tertentu. Masalah ini khususnya akan berlaku dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.
Siapakah kanak-kanak berkeperluan khas ini? Menurut definisi yang dipetik daripada laman Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kanak-kanak berkeperluan khas merupakan murid bermasalah pembelajaran yang mengalami masalah kognitif atau kerencatan akal yang dianggap boleh diajar (educable) dan bermanfaat pendidikan formal. Pihak KPM telah mengkategorikan pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran kepada enam jenis iaitu Syndrome down, Autisme ringan, Hiperaktif (Attention Deficit-Hyperactivity Disorders-ADHD), Terencat akal minima, kurang upaya dalam pembelajaran (Learning Disability) dan kurang upaya dalam pembelajaran khusus (Disleksia).
Oleh itu, pelbagai cara harus dicari dan dipraktikan untuk membantu kanak-kanak bermasalah pembelajaran ini supaya pada akhirnya mereka juga boleh menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lainnya.
3. CARA-CARA MEMPERTINGKATKAN KEMAHIRAN BERBAHASA.
Berdasarkan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan bahasa dan komunikasi dalam peribadi individu, dapat kita simpulkan bahawa sekiranya faktor itu tidak diuruskan dengan sebaiknya oleh pihak-pihak yang berkaitan maka ia akan memberi impak yang buruk kepada kehidupan kanak-kanak di usia dewasa mereka. Oleh itu, haruslah diketahui cara-cara mempertingkatkan kemahiran berbahasa dalam diri individu supaya masalah ini dapat ditangani. Cara tersebut haruslah dilihat dalam pelbagai aspek.

3.1:Intervensi Pengajaran Bahasa.
Menurut Anuar dalam penulisan blog pada 15 April 2009, intervensi pengajaran bahasa merupakan tindakan awal untuk membantu memulihkan atau mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak. Kaedah ini memerlukan guru menggunakan beberapa teknik pengajaran yang khusus bagi memenuhi keperluan bahasa kanak-kanak tersebut.
3.1.1:kaedah mengajar bahasa dalam situasi.
Ramai kanak-kanak sukar untuk mempelajari sesuatu dalam keadaan abstrak. Mereka perlukan situasi untuk menggambarkan perkara yang mereka pelajari. Oleh itu kaedah ini memerlukan guru untuk mengajar bahasa di dalam situasi yang diadakan supaya ia dapat membantu kanak-kanak memahami isi pelajaran dan seterusnya membantu mereka menguasai kemahiran bahasa yang diajar. Contohnya, guru mengadaptasi cara hidup kanak-kanak mengikut kesesuaian dalam pembelajaran. Jika kanak-kanak tersebut mendiami kawasan pedalaman, maka situasi membantu ayah di kebun sesuai digunakan. Jika anak-anak mendiamai kawasan bandar, situasi melancong bersama keluarga adalah sesuai digunakan.


3.1.2:Mengikuti perkembangan bahasa normal.
Guru-guru haruslah mengambil kira tahap perkembangan normal kanak-kanak terhadap bahasa dan komunikasi. Kaedah ini menekankan cara penyampaian pengajaran mengikuti perkembangan kanak-kanak. Dalam erti kata lain, pengajaran dan pembelajaran haruslah berdasarkan kemampuan berbahasa kanak-kanak mengikut peringkat umur mereka.

3.1.3:Menggunakan teknik pengajaran yang khusus ketika memperkenalkan konsep baru.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru harus tahu untuk mempelbagaikan cara penyampaian agar para pelajar tidak bosan dengan pelajaran yang harus mereka kuasai terutamanya menguasai teknik-teknik baru. Pelbagai jenis kaedah pengajaran telah dipelopori oleh para pakar bahasa yang boleh digunakan. Namun demikian, guru masih boleh menggunakkan kaedah sendiri yang direka khas untuk mengajar para pelajar.
Contoh teknik pengajaran yang selalu digunakan ialah kaedah fonik dan VAKT. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, kaedah fonik merupakan salah satu kaedah mengajar membaca dengan melatih para pelajar menghubungkaitkan bunyi tertentu dengan lambang tertentu. Teknin VAKT pula adalah kaedah pengajaran huruf yang memerlukan murid melihat huruf sebagai Visual, Auditori, Kinaesthetik dan Tactile. Teknik pembelajaran sedia ada ini juga boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian.
3.1.4:Bercakap mengenai apa yang mereka fikir atau lakukan,
Anuat menjelaskan bahawa kanak-kanak harus dilatih meluahkan hasrat hatinya sejak kecil lagi. Cara paling mudah adalah dengan meminta mereka bercakap tentang apa yang mereka sedang fikirkan mengenai sesuatu benda atau perkara yang mereka sedang lakukan.
Proses penerangan itu harus diperhatikan oleh guru yang berkaitan dengan memerhatikan penggunaan aspek fonologi, semantik dan sintaksisnya. Setelah proses menerang itu berakhir, guru kemudian membetulkan mana-mana aspek penggunaan bahasa yang salah.
3.1.5:Menerangkan perbuatan yang dilakukan oleh orang lain.
Kemahiran menerang juga sangat penting dalam proses komunikasi. Oleh itu, pelajar juga digalakkan meningkatkan kemahiran menerang dengan cara meminta mereka menceritakan apa yang orang lain sedang lakukan. Hal ini demikian kerana ianya lebih mudah untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran menceritakan perkara yang dilihat berbanding perkara-perkara abstrak.
3.1.6:Menggunakan contoh yang betul untuk memberikan latihan bagu kemahiran bahasa yang khusus.
Guru juga seharusnya menggunakan bahan-bahan yang boleh dijadikan contoh atau model penggunaan bahasa yang betul kepada para pelajar. Anuar menjelaskan dalam penulisan blognya bahawa ada dua cara yang boleh digunakan. Pertama adalah bacaan mekanis yang boleh ditunjukkan oleh guru itu sendiri. Kedua, guru boleh menggunakan bahan-bahan sedia ada seperti menayangkan rakaman pembaca berita TV membaca berita.
3.1.7:Menggunakan aktiviti harian dalam menyediakan latihan kemahiran-kemahiran bahasa dalam lingkungan konteksnya.
Guru-guru juga harus bijak memanfaatkan aktiviti harian kanak-kanak di rumah untuk dijadikan sebagai pengalaman-pengalaman bahasa yang mereka boleh pelajari. Selain itu, aktiviti ini juga boleh dijadikan sebagai tema pengajaran bahasa.



3.2: Intervensi masalah artikulasi.
Salah satu aspek yang menyumbang kepada terbantutnya perkembangan bahasa dan komunikasi dalam diri individu adalah masalah kesihatan terutamanya dalam kawasan artikulasi. Oleh itu, intervensi artikulasi juga harus diketengahkan dalam menangani masalah bahasa dan komunikasi yang berlaku dalam kalangan para pelajar sebelum masalah tersebut memberi kesan yang negatif kepada kanak-kanak.
3.2.1:Terapi pertuturan.
Dalam terapi pertuturan, kanak-kanak akan dibahagikan kepada beberapa kelompok kecil. Setiap kelompok mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli terapi pertuturan. Dalam kelompok ini, ahli terapi pertuturan akan berinteraksi dengan kanak-kanak dan bercakap dengan mereka. Bahan-bahan seperti gambar, buku dan peristiwa akan digunakan sebagai bahan untuk merangsang perkembangan bahasa kanak-kanak. Ahli terapi juga akan menunjukkan cara penyebutan yang betul dan menggunakan kaedah latih tubi untuk membina kemahiran bertutur dan bahasa.
Terapi artikulasi yang melibatkan artikulasi, penghasilan bunyi dan latihan-latihan melalui tunjuk cara penyebutan yang betul harus ditunjukkan kepada kanak-kanak. Namun demikian, aktiviti ini dijalankan melalui aktiviti permainan. Contohnya, ahli terapi akan menunjukkan cara menyebut huruf ‘s’. Selain itu, dia juga akan menunjukkan bagaimana lidah harus digerakkan sehingga bunyi s dihasilkan. (Anuar, 2009)
3.2.2:Pendekatan interaktif.
Bloom, 1991 menjelaskan bahawa pendekatan ini digunakan agar kanak-kanak dapat dirangsang untuk banyak bercakap dan menggunakan bahasa. Melalui pendekatan ini, ahli intervensi yang mungkin terdiri daripada ibu bapa, guru pendidikan khas atau ahli terapi pertuturan akan cuba menggunakan sifat semulajadi kanak untuk bercakap tetang apa yang mereka sedang lakukan, merancang untuk lakukan ataupun perkara yang ingin dilakukan. Sesi pemulihan ini boleh dilakukan di mana sahaja terutamanya semasa kanak-kanak sedang bermain, makan, dan lain-lain dengan menggunakan sebutan dan bahasa yang betul. Melalui pendekatan ini, kanak-kanak akan meningkatkan perbendaharaan kata mereka dan memperbetulkan sebutan dan memperkayakan pengetahuan berbahasa mereka.
3.2.3: Komunikasi tambahan.
Seperti yang kita sudah sedia maklum, kanak-kanak bermasalah pembelajaran terbahagi kepada beberpa jenis. Ada kalanya terdapat kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan yang serius. Oleh itu, haruslah komunikasi tambahan diberikan kepada kanak-kanak ini. Komunikasi tambahan yang dimaksudkan adalah bahasa isyarat kod tangan yang biasanya digunakan oleh golongan masalah pendengaran.

3.3:Mengurangkan masalah gagap.
Morley M.E (1972) menjelaskan beberapa cara untuk membantu individu gagap mengatasi masalah mereka. Berikut merupakan cara-cara yang beliau perkenalkan untuk membantu mereka;
A. Menyesuaikan diri dengan gagap.
a. Individu gagap harus menerima dan mengakui bahawa mereka gagap tanpa rasa takut dan beremosi.
B. Terapi mengurangkan ketegangan (Relaxation therapy)
a. Rawatan ini mengurangkan ketegangan fizikal dan mental. Sekiranya selalu diamalkan, ia boleh meningkatkan keselesaan dan ketenangan mental yang akan meningkatkan kecekapan dan keyakinan untuk menjalani kehidupan tanpa tekanan.
C. Perbincangan, cadangan dan tugasan.
a. Setiap kali rawatan, masalah dan situasi tertentu mesti dibincangkan. Cadangan demi cadangan akan diberikan kepada individu untuk membolehkan mereka mengatasi masalah yang dihadapi dan menjadikan situasi gagap sebagai latihan untuk melaksanakan cadangan yang diberi.


D. Terapi kumpulan.
a. Individu gagap yang menghadiri sesi rawatan akan menghadiri sesi terapi berkumpulan. Tujuan terapi berkumpulan diadakan ialah untuk menemukan individu yang mengalami nasib yang sama. Di sinilah mereka akan berkongsi pengalaman masing-masing dan mereka akan menimba ilmu dari orang terdahulu yang berjaya mengatasi masalahnya.
3.4:Intervensi komunikasi.
Mohd.Sharani Ahmad, 2008 menjelaskan bahawa kanak-kanak perlu bentuk komunikasi yang jelas bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Ketidaktentuan sewaktu berkomunikasi akan mewujudkan ketidakberkesanan dalam hubungan sosial. Oleh itu, ibu bapa harus menyediakan suasana yang tenang dan mempelbagaikan corak komunikasi di rumah secara sistematik.
3.4.1: Komunikasi antara perseorangan.
Komunikasi ini melibatkan dua orang berinteraksi secara bersemuka seperti ibu dan anak. Komunikasi ini mempunyai keunikan tersendiri di mana komunikasi ini bergantung pada tahap kemesraan yang wujud antara dua pihak yang sedang berinteraksi.
3.4.2: Komunikasi dalam kumpulan kecil.
Komunikasi kumpulan kecil bermaksud himpunan individu yang berinteraksi di antara satu sama lain secara langsung atau tidak langsung. Proses ini melibatkan tiga atau lebih anggota dalam sesuatu kumpulan di rumah bertukar-tukar pendapat untuk saling mempengaruhi antara satu sama lain.
3.4.3: Komunikasi umum.
Komunikasi jenis umum pula memerlukan kelompok yang lebih besar. Pada kelompok ini, ibu bapa harus menarik perhatian anak dengan nada suara yang menarik, bijak menyusun kata, tegas dan mempengaruhi agar kanak-kanak dalam kelompok yang besar itu dapat dikawal sekaligus memberikan input bahasa dan komunikasi kepada kanak-kanak tersebut.
3.4.4: Komunikasi massa.
Intervensi komunikasi massa pula banyak menggunakan media massa sebagai alat untuk meningkatkan kemahiran berbahasa. Contohnya, televisyen, radio, internet, majalah dan lain-lain medium yang ada di rumah. Ibu bapa harus bijak menggunakan semua bahan yang ada untuk meningkatkan kemahiran berbahasa kanak-kanak.
3.4.5: Komunikasi bercirikan kekeluargaan.
Terdapat dua corak yang digunakan dalam intervensi komunikasi ini iaitu corak sosio dan konsepsual. Corak sosio menuntut kanak-kanak mengalah dalam situasi pertelingkahan. Hal ini demikian kerana, unsur keharmonian merupakan salah satu unsur yang seharusnya ada dalam sesebuah hubungan komunikasi. Oleh itu, apabila salah satu daripada pihak yang bertelingkah itu mengalah maka pergaduhan tidak menjadi besar malah mewujudkan suasana yang harmoni.
Corak konsepsual pula menuntut kanak-kanak mencabar pendapat orang lain. Dalam corak komunikasi ini, mereka dilatih untuk mengemukakan idea-idea yang bernas untuk mengalahkan pendapat orang lain.Mereka juga akan didedahkan dengan isu-isu kontrovensi dan membincangkan isu seumpama itu dengan ibu bapa.mereka.
Dengan menggunakan kaedah ini, kanak-kanak akan lebih aktif dalam menggunakan bahasa dengan dorongan sikap egosentrik yang ada pada diri kanak-kanak. Sifat itulah yang mendorong mereka untuk bersaing dan mempertahankan pendapat mereka. Akhirnya melalui cara ini, mereka dapat meningkatkan kemahiran berbahasa yang mereka miliki.
3.5: AAC
AAC adalah salah satu kaedah intervensi komunikasi iaitu ARGUMENTATIVE dan ALTERNATIVE COMMUNICATION. Komunikasi argumentatif didefinisikan sebagai kaedah-kaedah dan alatan yang dapat meningkatkan kemahiran komunikasi verbal yang telah sedia wujud (Mustonen, Locke, Reiche, Solbrack&Lindgren, 1991). Manakala komunikasi alternatif adalah teknik-teknik yang menggantikan komunikasi lisan bagi individu yang tidak berupaya atau tidak mampu menguasai kemahiran bahasa lisan. (Mccormick & Shane, 1990).
Melalui definisi di atas, dapat disimpulkan bahawa AAC merupakan salah satu sistem multimodal yang mengandungi empat komponen yang boleh dimanfaatkan dalam pelbagai kombinasi untuk meningkatkan komunikasi. Secara praktiknya tidak ada pemisah yang jelas antara komunikasi argumentative dengan komunikasi alternative.Oleh kerana keduanya mempunyai maklumat yang sama, maka pendekatan bersama digunakan iaitu komunikasi Argumentatif dan Alternatif (AAC).
Wikipedia the encyclopedia menjelaskan bahawa penggunaan AAC melibatkan pemilihan kod-kod atau mesej daripada pelbagai aspek. Pengguna boleh menggunakan elemen ini sendiri atau dalam kombinasi untuk menyampaikan pelbagai mesej. AAC digunakan tanpa bantuan, atau dengan bantuan yang melibatkan teknologi tinggi dan rendah. (*Rujuk pada senarai lampiran)
Bagi AAC yang tidak memerlukan bantuan, ia tidak memerlukan sokongan luar atau prosedur khas. Ia hanya memerlukan kaedah pertuturan, bahasa isyarat, gesture dan mimik muka. AAC tidak berbantu ini tidak menggunakan kos dan ianya mudah alih. Namun demikian, ia bergantung kepada keupayaan ingatan pengguna, isyarat yang digunakan mungkin sukar untuk dipelajari dan rakan komunikasi masa hadapan terhad.
Bagi AAC berbantu pula, ia semudah papan komunikasi hingga sekompleks alat bantuan pertuturan sintetik berkomputer. Alat bantuan yang digunakan bolehlah terdiri daripada samada elektronik atau tidak dengan menggunakan prosedur pilihan dan sistem symbol. Ia juga memerlukan objek fizikal, alatan atau sokongan luaran untuk membolehkan seseorang itu berkomunikasi contohnya papan komunikasi, carta dan alatan mekanikal atau elektrikal. (*Rujuk pada senarai lampiran). AAC berbantu Dapat menghasilkan mesej yang lebih kompleks daripada keupayaan bahasa pengguna dan membolehkan pengguna berkomunikasi dari jauh (VOCAs-Voice Output Communication Aids). Namun demikian Kelemahan AAC berbantu pula adalah alat elektronik yang digunakan boleh rosak atau hilang kuasa. Kemudahalihan juga terhad dan alat ini mahal dan menyebabkan ianya sukar diperolehi.
Dalam pendidikan pemulihan masalah bahasa dan komunikasi dalam kalangan kanak-kanak, AAC digunakan sebagai sumber penilaian awal termasuklah inventori ekologi. Penyediaan maklumat melalui AAC membolehkan keupayaan murid untuk melibatkan diri dalam semua persekitaran dipertingkatkan. Guru-guru juga boleh memilih mod bantuan dan tanpa bantuan atau digabungkan sebagai mod pengajaran. Pemilihan gesture atau grafik yang sesuai metilah dititikberatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Akhir sekali, pemilihan kaedah harus dititikberatkan agar peningkatan kualiti kemahiran berkomunikasi dapat dipertingkatkan.


REFLEKSI.

Saya memulakan pelaksanaan kerja kursus ini dengan perasaan seronok. Saya memulakan penaakulan saya sebaik sahaja mendapat kertas panduan kerja kursus PKU 3102. Sebelum ini saya sudah mempelajari beberapa aspek dalam mata pelajaran Perkembangan kanak-kanak, pengenalan kepada pendidikan pemulihan dan juga mata pelajaran ini sendiri iaitu pengenalan kepada masalah bahasa dan komunikasi. Melalui maklumat sedia ada yang saya telah perolehi, saya mula menghubungkaitkan beberapa fakta yang boleh dimasukkan dalam mana-mana sub topik dalam kerja kursus ini. Melalui pengetahuan sedia ada tersebut, saya menemui satu jawapan kepada soalan yang kedua dalam kerja kursus ini iaitu yang berkenaan dengan faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak. Serta merta saya teringat akan hierarki keperluan manusia yang dikemukakan dalam teori keperluan A.H.Maslow. Teori ini ternyata menghurai bagaimana seseorang itu gagal menguasai kemahiran di peringkat tertinggi dalam aspek kehidupannya.
Apabila saya meneruskan pembacaan dan penulisan kerja kursus ini, saya akhirnya menemui bahawa ada banyak faktor yang mempengaruhi kemahiran berbahasa dalam individu berkenaan dan cara-cara untuk mengatasi masalah tersebut. Di tahap ini, saya mengimbas kembali kelakuan saya pada permulaan saya menerima tugasan kerja kursus ini. Sebenarnya, kelakuan saya itu juga wujud dalam hati seorang kanak-kanak yang baru belajar. Apabila mereka menerima tugasan tertentu, mereka tentu merasa seronok untuk melaksanakannya. Namun demikian, tahap kefahaman mereka adalah bergantung pada pengetahuan sedia ada yang mereka perolehi. Sekiranya kanak-kanak tidak mempunyai pengalaman sedia ada dalam menggunakkan bahasa dan komunikasi, mereka secara tidak langsung akan lambat menerima ataupun mungkin seringkali gagal mencapai objektif yang hendak dicapai.
Oleh hal yang demikian sebagai pembimbing iaitu tanpa mengira samada mereka adalah guru, ibu bapa atau masyarakat sekeliling, kita haruslah bijak mengatur strategi untuk memastikan bahawa individu tersebut mampu menguasai kemahiran berbahasa dengan betul. Pihak terbabit haruslah bijak menggunakan pengetahuan sedia ada pada individu berkenaan untuk membawanya memperkembangkan lagi pengetahuan ke arah konsep yang baru. Sesungguhnya, manusia terutamanya kanak-kanak menurut teori A.H Maslow tidak akan berkembang menuju ke peringkat seterusnya sekiranya keperluan asasnya tidak terpenuhi.
Selain itu, saya juga suka mengambil satu petikan dari tulisan Clerehugh, 2000 yang menyatakan bahawa “Pupils want to learn quickly; that is, they want to see result in that they are able to use the language in the meaningful way as the reward for the learning effort put in. They want to discuss things which are of personal interest or which are of direct relevance of the situation. It is not usual to hear a group of fourteen years old discussing the time they get up, get dressed and cleaned their teeth and if they have a real desire to communicate on a given topic, they may naturally become disenggaged with the subject”
Memang benar setiap manusia mahu mempelajari sesuatu dengan cepat. Sama seperti saya, saya menginginkan daya kecepatan dalam menyelesaikan semua kerja kursus saya. Namun demikian, apakah gunanya untuk mempercepatkan sesuatu jika kita tidak mendapat apa-apa faedah atau pengajaran darinya? Oleh itu, saya mengaitkan keinginan saya ini dengan petikan tulisan tokoh di atas. Sebagai seorang guru, saya seharusnya tidak memiliki perasaan ingin cepat dalam menyempurnakan silabus-silabus yang harus dipelajari pada semester yang tertentu. Perkara yang terpenting adalah melihat kebajikan anak-anak murid samada mereka mampu menguasai kemahiran yang seharusnya mereka kuasai pada tempoh tertentu atau sebaliknya. Sememangnya masa harus diurus dengan baik. Namun secara peribadi saya lebih mengutamakan pencapaian pelajar terutamanya dalam perkembangan mereka dari segi bahasa dan komunikasi.
Oleh kerana pada zaman ini, manusia saling memerlukan antara satu dengan yang lain, maka saya menyimpulkan bahawa masalah yang terbesar yang harus ditangani segera adalah masalah bahasa dan komunikasi. Hal ini demikian kerana hanya melalui komunikasi dengan menggunakan bahasa sebagai perantaraan, manusia dapat mencapai, meluahkan seterusnya memiliki keinginan dan kepuasan dalam kehidupannya. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama dalam menangani masalah ini. Jangan biarkan kaum sejagat manusia tercari-cari arah kehidupan mereka hanya disebabkan masalah bahasa dan komunikasi yang mereka hadapi.

LAMPIRAN.

Gambar 1: Pengguna AAC menggunakan kod nombor untuk latihan pengamatan yang terdapat pada papan komunikasi.

Gambar 2: Pengguna AAC mengakses kebolehan pengamatan mata melalui papan kenyataan lutsinar.

Gambar 3: Papan kekunci alat text-to-speech.

Gambar 4: alat ringkas switch operation speech.

Gambar 5: Alat menghasilkan suara khusus untuk pengguna Autisme.

Gambar 6: buku komunikasi

Gambar 7: Alat komunikasi static – Go-talk

Gambar 8: alat penghasilan ucapan yang diakses menggunakan tetikus.

Gambar 9:Alat yang digunakan oleh para pesakit Parkinson.

*Demikian antaranya alat-alat yang digunakan dalam AAC yang menggunakan teknologi rendah dan tinggi.


Gambar 10: Lebihan kromosom ke-21 pada kanak-kanak down sindrom.














RUJUKAN

Ahmad, M. (2008). Intervensi anak istimewa bermasalah pembelajaran. Kota Kinabalu, Sabah: University Malaysia sabah, 2008.
Anuar. (2009, April 15). BLOGGER. Retrieved Januari 2010, from DEMI CINTA INI: http://anuarsped.blogspot.com/2009/04/masalah-bahasa-dan-komunikasi.html
Kamaruddin, K. (2009). Psikologi Perkembangan Panduan Untuk guru. Tanjong Malim, Perak: Universiti pendidikan Sultan Idris.
Kamus Dewan Edisi ke-4. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kusuma, E. (2007, Mac 02). Chademak. Retrieved Februari 2010, from Pembelajar.com: http://www.mail-archive.com/cahdemak@yahoogroups.com/msg00535.html
Lian, S. S. (2006, April). Retrieved Februari 2010, from Pdf.: http://www.fp.utm.my/epusatsumber/pdffail/ptkghdfwP/SIOWSWEELIANBP030056D2006TTP.pdf
Malaysia, J. P. (2008). Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas . Retrieved September 01 , 2009
Sang, M. S. (2008). Perkembangan kanak-Kanak. Ipoh perak: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.



No comments:

Post a Comment